PSM Sambut Baik Cadangan Pindaan Dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967

*KENYATAAN AKHBAR – 26HB.OGOS,2019 – PARTI SOSIALIS MALAYSIA*

*PSM SAMBUT BAIK CADANGAN PINDAAN DALAM AKTA KESATUAN SEKERJA 1959 DAN AKTA PERHUBUNGAN PERUSAHAAN 1967*

Pada 22 Ogos 2019, satu sesi taklimat telah dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) Selangor dan membentangkan cadangan pindaan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 dan Akta Perhubungan Perushaan 1967.

PSM menyambut baik pindaan-pindaan tersebut kerana pindaan-pindaan ini akan membantu untuk pekerja menubuhkan kesatuan di tempat kerja mereka dan menghalang pemangsaan ahli-ahli kesatuan. Pada masa sekarang, dengan hanya 6% pekerja dalam kesatuan, warga pekerja mempunyai kuasa tawar menawar yang sangat rendah dan ini menyebabkan mereka kekal dengan gaJi yang rendah, faedah pekerjaan yang minima dan mereka terus kehilangan hak-hak asas seorang pekerja.

Dalam situasi sekarang, dimana kebanyakkan pekerja, terutamanya dalam sector perkhidmatan dan informal sukar untuk diorganisasikan untuk membentuk kesatuan kerana terma kerja, kontrak tempoh tetap, bilangan pekerja yang kecil, lokasi kerja , penyumberluaran kerja dan sebagainya . Maka pindaan ini, akan membolehkan sebuah kesatuan kerja umum ditubuhkan untuk mewakili pekerja dari pelbagai sector dan tred. Bila mereka diwakili oleh kesatuan, maka kejadian eksploitasi oleh majikan dapat dicabar dan hak mereka akan terpelihara.

Pindaan yang dicadangkan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 iaitu mengurangkan kuasa Menteri, Kuasa Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja (KPKS) dalam isu-isu penubuhan kesatuan dan penolakan pendaftaran kesatuan, akan menggalakkan lebih ramai pekerja datang ke hadapan untuk menubuhkan kesatuan. Birokrasi Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja atau kuasa budi bicara KPKS dan Menteri dicadangkan untuk dimansuhkan.

Pindaan juga dilakukan supaya lebih dari satu kesatuan boleh ditubuhkan di suatu tempat pekerjaan. Maka, pindaan cadangan untuk membenarkan penubuhan lebih daripada satu kesatuan akan menggalakkan pekerja menolak kesatuan yang tidak berjuang untuk mereka dan menubuhkan kesatuan yang baru. Dalam suasana persaingan yang sihat ini, kesatuan yang betul-betul berjuang untuk kepentingan pekerja akan mendapat sokongan. Selaras dengan standard International Labour Organization (ILO), pihak Kementerian Sumber Manusia membawa pindaan-pindaan tersebut selaras dengan prinsip ‘hak kebebasan untuk mengatur dan berkesatuan.

Cadangan pindaan dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 yang lain adalah seperti berikut:

• Syarat untuk melancarkan mogok dan tutup pintu dilonggarkan dan hukuman pelanggaranya dipinda. Dalam Akta Kesatuan Sekerja sekarang, jika didapati tidak mengikut syarat maka pekerja boleh dihukum penjara dan perkara ini memang menghalang pekerja untuk mengorganisasi mogok atau tutup pintu apabila majikan bertindak tidak adil di tempat pekerjaan. Dalam cadangan pindaan, hukuman penjara dimansuhkan. Hanya denda akan dikenakan.

• Keanggotaan kesatuan sekerja diperluaskan kepada mereka yang telah bersara, digantung kerja dan berhentikan kerja dan ini akan membolehkan ahli kesatuan bergiat aktif dalam aktiviti sehingga mereka dapat keadilan daripada pemangsaan majikan.

• Pekerja mana-mana parti politik dibenarkan untuk menjadi pegawai kesatuan sekerja. Cadangan ini baik untuk hindar diskriminasi pekerja ahli parti politik daripada menjadi pegawai kesatuan sepertimana wujud sekarang.

• Kesatuan sekerja dibenarkan untuk bergabung dengan mana-mana kesatuan sekerja lain tanpa tertakluk pada sekatan keserupaan (similarity).

• Kesatuan sekerja dibenarkan memindahkan perjanjian-perjanjian (transfer of engagements) kepada mana2 kesatuan lain tanpa tertakluk pada sekatan keserupaan

• Syarat pindaan peraturan yang melibatkan kenaikan yuran bulanan dan mengurangkan faedah anggota dilonggarkan kepada lebih daripada separuh undi yang dipulangkan bersetuju terhadap pindaan

• Penubuhan persekutuan kesatuan sekerja tidak lagi tertakluk kepada prinsip keserupaan tred, pekerjaan atau industri.

Seterusnya, beberapa cadangan Pindaan di Akta Perhububungan Perusahaan 1967 juga dibentang. Salah satunya adalah mewujudkan Mahkamah Rayuan Pekerjaan (EAC). Apabila pekerja kalah di Mahkamah Perusahaan, keputusan tersebut boleh dicabar di Mahkamah Rayuan Pekerjaan. Sekarang, pekerja harus melalui proses Mahkamah Sivil yang memakan kos yang tinggi. Bagi membantu pekerja dalam hal kos dan mempercepatkan penyelesaian Mahkamah Rayuan Pekerjaan dicadangkan. PSM berasa ini adalah satu langkah yang akan memanfaatkan pekerja yang sentiasa dimangsakan dan kebanyakan masa mereka berputus asa kerana tidak dapat menampung kos atau sanggup mengharungi tempoh masa yang lama sehingga kes selesai.

Cadangan Pindaan seterusnya adalah mewujudkan satu peruntukan baru dibawah Seksyen 12A iaitu “Preference ballot”. Dalam keadaan wujud lebih daripada satu kesatuan sekerja di suatu tempat pekerjaan, hanya satu kesatuan Sekerja dibenarkan membuat perjanjian bersama (CA) dengan majikan. Bagi memilih satu kesatuan yang layak untuk membuat CA, sistem “Preference ballot” akan digunakan. Ini bermaksud kesatuan yang mendapat sokongan undi tertinggi akan berhak mewakili pekerja dalam perundingan kolektif.

Selain ini, cadangan pindaan lain dalam Akta Perhubungan Perusahaan 1967 ialah di Seksyen 13(3) dimana Kesatuan Sekerja dibenarkan untuk berbincang dengan majikan semasa perundingan kolektif secara umum tentang hal kenaikan pangkat,pertukaran, pengambilan pekerja, penamatanperkhidmatan akibat lebihan tenaga kerja, pembuangan kerja dan pemulihan kerja serta agihan tugas dimana sekarang kesatuan sekerja tiada hak untuk berunding hal-hal ini yang sebelum ini dianggap sebagai budibicara dan kuasa mutlak majikan.

Berikut adalah pindaan-pindaan lain yang dicadangkan dibawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967:

1. Kuasa budi bicara menteri untuk merujuk atau tidak merujuk sesuatu kes pembuangan akan dipindahkan kepada Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan (KPPP). Kuasa Menteri untuk memutuskan isu pengiktirafan kesatuan sekerja akan dipindahkan kepada KPPP.
2. Kes pertikaian perusahaan mengenai keengganan majikan memulakan perjanjian kolektif hanya boleh dirujuk ke Mahkamah Perusahaan atas persetujuan bersama pihak yang terlibat kecuali dalam 4 keadaan iaitu:

• Kes yang melibatkan perjanjian kolektif yang pertama
• Kes yang melibatkan perkhidmatan perlu (Jaduan Pertama)
• Kes yang menyebabkan “acute crisis” jika tidak diselesaikan segera
• Pihak yang terlibat tidak bertindak secara “good faith” dalam menyelesaikan pertikaian yang perlu.

3. Memberi kuasa kepada Mahkamah Perusahaan

• Untuk mendengar dan memutuskan tarikh pembuangan kerja sebenar sekiranya tarikh pembuangan kerja yang dirujuk oleh KPPP kepada Mahkamah dipertikaikan oleh pihak yang terlibat (Seksyen 29(da).
• Mengenakan faedah keatas award yang melibatkan kewangan (maksimum 8% setahun) – Seksyen 30 (1A)
• Mahkamah Perusahaan tidak terikat kepada Jadual Kedua sekiranya sesuatu kes pembuangan kerja melibatkan perlanggaran terhadap Seksyen 4, 5 atau 7 – Seksyen 30 (6A)
• Memansuhkan proviso di bawah subseksyen 30(7) bagi memberi kuasa budibicara kepada Mahkamah Perusahaan menetapkan tarikh kebelakang sesuatu award tanpa terikat lagi kepada tempoh 6 maksimum bulan – Seksyen 30(7)

4. Membenarkan pekerja-pekerja Badan Berkanun Persekutuan (BBDSP) mengemukakan representasi pemulihan kerja di bawah Seksyen 20. Cadangan pindaan ini akan membenarkan pekerja-pekerja dalam (7) agensi BBDSP berikut untuk mengemukakan tuntutan dibawah Seksyen 20:

• Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
• Lembaga Hasil Dalam Negeri
• Lembaga Tabung Angkatan Tentera
• Lembaga Tabung Haji
• Pertubuhan Keselamatan Sosial
• Bank Simpanan Nasional
• Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT)

5. Waris terdekat boleh menikmati bayaran pampasan yang diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan. Memberi kuasa kepada Mahkamah memerintahkan gaji ke belakang/ pampasan sebagai ganti kepada pemulihan kerja dibayar kepada waris terdekat apabila pekerja meninggal dunia – Seksyen 30(60B).

Secara keseluruhan PSM mengucapkan tahniah kepada pihak Kementerian Sumber Manusia yang berani membawa cadangan pindaan-pindaan ini yang akan membuka ruang kepada lebih pekerja menubuhkan kesatuan dan secara bersama mereka boleh bersuara dengan berani apabila berlaku penindasan di tempat kerja. Kami amat berharap pindaan-pindaan ini akan dibawa ke Parlimen secepat mungkin dan melaksanakan secepat mungkin.

*M.Sivaranjani*
_Penyelaras Biro Pekerja_
_Ahli Jawatankuasa Pusat PSM_

Related

𝐁𝐀𝐇𝐀𝐆𝐈𝐀𝐍 𝟑: 𝐊𝐄𝐙𝐀𝐋𝐈𝐌𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐊𝐎𝐍𝐓𝐑𝐀𝐊…

Sehingga kini, pekerja-pekerja kontrak masih ditipu oleh kontraktor. Dengari Saudari Sivaranjani daripada JPKK menerangkan isu-isu yang dialami oleh pekerja-pekerja kontrak. Sertai kami untuk menghapuskan sistem kontrak dengan menandatangani petisyen ini https://chng.it/ykq2b8WKKG Sertai kami untuk menghapuskan sistem kontrak. Daftar diri anda di: https://forms.gle/hLta5pBgpxPn77ZCA Tonton Video di:FacebookInstagramTwitterTiktok

𝐁𝐀𝐇𝐀𝐆𝐈𝐀𝐍 𝟐: 𝐊𝐄𝐙𝐀𝐋𝐈𝐌𝐀𝐍 𝐒𝐈𝐒𝐓𝐄𝐌 𝐊𝐎𝐍𝐓𝐑𝐀𝐊…

Sehingga kini, pekerja-pekerja kontrak masih ditipu oleh kontraktor. Dengari Saudari Sivaranjani daripada JPKK menerangkan isu-isu yang dialami oleh pekerja-pekerja kontrak. Sertai kami untuk menghapuskan sistem kontrak dengan menandatangani petisyen ini https://chng.it/ykq2b8WKKG Sertai kami untuk menghapuskan sistem kontrak. Daftar diri anda di: https://forms.gle/hLta5pBgpxPn77ZCA Tonton Video di:FacebookInstagramTwitterTiktok

× Ada aduan? Hubungi SiAP!