Akta Kerja Wajib Lindungi Pemohon Kerja daripada Diskriminasi

*Akta Kerja Wajib Lindungi Pemohon Kerja daripada Diskriminasi*

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menggesa kerajaan untuk melindungi pemohon kerja daripada diskriminasi – dengan meminda Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak.

Pada September 2018, Kementerian Sumber Manusia mencadangkan agar pindaan dibuat pada Akta Kerja bagi melindungi pemohon kerja dan pekerja daripada diskriminasi atas dasar gender, agama, kaum, kelainan upaya, status kahwin, wanita mengandung dan bahasa pertuturan.

Akan tetapi, sewaktu hari terbuka yang dianjurkan Kementerian pada 6 Ogos 2019, WAO difahamkan bahawa Kementerian akan menyisihkan pemohon kerja daripada peruntukan antidiskriminasi tersebut.

Kami amat bimbang sekiranya penyisihan ini diteruskan kerana ia akan menjadikannya suatu peruntukan antidiskriminasi yang lemah, sekali gus, memberi kesan negatif kepada beribu-ribu pemohon kerja setiap tahun. Justeru, kami menggesa pihak Kementerian untuk memasukkan kembali istilah pemohon kerja ke dalam peruntukan tersebut.

Selain itu, kami turut difahamkan bahawa pihak Kementerian mungkin memasukkan senarai faktor diskriminasi – gender, agama, kaum, kelainan upaya dll. – ke dalam peraturan berasingan dan memisahkannya daripada Akta Kerja itu sendiri.

Sekali lagi, kami menggesa pihak Kementerian agar mengekalkan senarai faktor diskriminasi tersebut dalam Akta Kerja kerana akta sifatnya lebih kekal dan kukuh berbanding peraturan yang berbentuk prosedur.

*Diskriminasi sewaktu pengambilan kerja berleluasa*

Amat penting agar pemohon kerja dilindungi oleh undang-undang antidiskriminasi kerana diskriminasi kerap berlaku sewaktu fasa pengambilan kerja.

Dalam hal ini, kira-kira 40% wanita yang ditinjau melaporkan mereka disoal oleh penemu duga sama ada mereka sedang mengandung atau merancang untuk mengandung, begitu menurut kaji selidik WAO.

Malah, terdapat juga kes yang melaporkan hotel mengenakan larangan bertudung terhadap pekerja wanita di bahagian menyambut tetamu. Diskriminasi seumpama ini kerap berlaku ketika fasa pengambilan pekerja, kerana wanita Islam yang memakai tudung sewaktu temu duga tidak diterima bekerja.

Kaji selidik dan pelbagai kisah yang dipaparkan di media turut mengetengahkan bermacam-macam bentuk diskriminasi atas dasar perkauman dan faktor lain semasa pengiklanan kerja dan fasa temu duga.

Dalam hal ini, pemohon kerja yang didiskriminasi langsung tidak dapat menuntut keadilan—melainkan pihak Kementerian memasukkan istilah pemohon kerja ke dalam peruntukan antidiskriminasi yang bakal dipinda.

*Benarkah undang-undang antidiskriminasi menyekat hak majikan dan menjejaskan merit pekerja?*

Mungkin ada sesetengah pihak berpendapat bahawa majikan berhak memilih sesiapa sahaja yang mereka suka dan undang-undang antidiskriminasi hanya akan menjejaskan merit pekerja yang mereka ambil.

Namun hakikatnya, undang-undang antidiskriminasi inilah yang dapat memastikan bahawa pekerja diambil berdasarkan kelayakan mereka, dan bukan atas dasar prejudis atau berat sebelah.

Sebagai contoh, kajian oleh penyelidik di Cornell University mendapati bahawa kaum ibu sering dianggap kurang kompeten dan komited berbanding wanita tanpa anak – walaupun mereka mempunyai kelayakan yang sama. Hal ini bererti, diskriminasi oleh majikan terhadap kaum ibu menyebabkan ramai wanita berpotensi tinggi diketepikan.

Lagi pula, peruntukan antidiskriminasi yang dicadangkan Kementerian membenarkan pengecualian kepada majikan untuk memprioritikan seseorang pemohon kerja sekiranya beliau mempunyai ciri yang diperlukan secara khusus oleh pekerjaan tersebut.

Sebagai contoh, jika kerja yang dipohon mewajarkan kefasihan dalam suatu bahasa, maka pengambilan pekerja berdasarkan kriteria tersebut tidaklah dianggap diskriminatori. Akan tetapi, majikan perlu membuktikan bahawa kefasihan bahasa tersebut merupakan suatu ‘ciri khusus’ bagi pekerjaan yang dimaksudkan.

*Akta Kerja untuk pekerja semata-mata?*

Hujah lain yang menyanggah perlindungan Akta ini kepada pemohon kerja ialah skop Akta Kerja yang dikatakan merangkumi pekerja dan majikan semata-mata – dan bukan bakal pekerja.

Hujah ini tidak munasabah. Mengapa tidak Akta Kerja dipinda untuk merangkumi bakal pekerja?
Bahkan, suatu yang tidak masuk akal untuk menyatakan bahawa undang-undang pekerjaan tidak melindungi golongan yang memohon pekerjaan.

Banyak negara lain lindungi pemohon kerja daripada diskriminasi

Kewujudan undang-undang yang melindungi pemohon kerja sudah menjadi perkara biasa di negara-negara lain.

Sebagai contoh, Jepun, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat, Kanada dan Afrika Selatan semuanya mempunyai undang-undang kerja yang melarang pelbagai bentuk diskriminasi sepanjang fasa permohonan kerja dan ketika menjadi pekerja.

Sementara itu, Hong Kong dan United Kingdom juga mempunyai undang-undang antidiskriminasi khusus bagi melindungi pemohon kerja dan pekerja daripada bermacam-macam bentuk diskriminasi.

Oleh hal yang demikian, Malaysia sepatutnya mengambil langkah positif bagi memastikan pemohon kerja dilindungi daripada semua bentuk diskriminasi.

Jumaat lepas, Menteri Sumber Manusia, YB M. Kulasegaran menyebut bahawa pihak Kementeriannya mahu berbincang dengan semua pihak berkepentingan dalam isu pindaan Akta Kerja ini. Kami amat berbesar hati dan menyambut mesra hasrat untuk berbincang selanjutnya dengan pihak Kementerian berkenaan hal ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related

200 Pengawal Keselamatan Sekolah 2 Bulan tak Bergaji: KPM HENTIKAN WIRA CORPS, GANTI SYARIKAT LAYAK!

Lebih kurang 200 Pekerja Kawalan Keselamatan Sekolah dibawah naungan syarikat Wira Corps Security (M) Sdn Bhd tidak bergaji selama 2 bulan. JPKK mendapat berita terbaharu ini setelah penghebahan mengenai 38 Pengawal Keselamatan Sekolah Perlis yang hidup 2 bulan tanpa gaji dibawah syarikat ini. Setelah dihubungkan dengan pekerja negeri lain, diketahui bahawa syarikat ini juga gagal […]

38 pengawal keselamatan sekolah Perlis tidak dibayar gaji 2 bulan

38 orang pengawal keselamatan yang bertugas di premis Kementerian Pendidikan di Perlis, telah hidup dalam keadaan tanpa dibayar gaji oleh majikan mereka sejak dua bulan lalu. Pengawal-pengawal keselamatan yang diupah di bawah syarikat Wira Corps Security (M) Sdn Bhd ini ditempatkan di 10 buah premis Kementerian Pendidikan di sekitar kawasan Chuping dan Arau, Perlis, seperti […]

Font Resize
× Ada aduan? Hubungi SiAP!