Isu pekerja kontrak – koleksi berita mesyuarat dengan Maszlee

Isu pekerja kontrak dibawa kepada perhatian PM – Maszlee

NOR IDAYU BOSRO

27 Mac 2019 5:48 PM

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan akan membawa isu kontrak pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah untuk perhatian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik dalam satu kenyataan berkata, isu yang dibincangkan dalam pertemuannya dengan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) hari ini turut akan dibawa kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Saya memberi jaminan akan membawa isu ini untuk perhatian Kementerian Kewangan bagi mendapatkan peruntukan tambahan.

“Di peringkat KPM pula, kita bercadang untuk meningkatkan tahap kemahiran pekerja-pekerja ini melalui program latihan di bawah kelolaan Kolej Komuniti dan skim latihan semasa di bawah Kementerian Sumber Manusia,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, bagi mengatasi isu kontraktor yang didakwa menindas pekerja, KPM akan meneliti semula dasar, prosedur dan tatacara kontrak.

“Ini untuk memastikan kontraktor yang berlaku tidak adil dan menganiaya golongan pekerja dikenakan tindakan tegas termasuk disenarai hitam daripada mendapat sebarang kontrak berkaitan di bawah KPM,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan JPKK menuntut KPM membantu membela nasib ribuan pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan kontrak di sekolah yang ditamatkan perkhidmatan mereka tanpa sebarang notis awal Januari lalu.

Koordinator JPKK, R. Mohanarani dipetik berkata, kesemua pekerja di kira-kira 10,000 buah sekolah di seluruh negara terpaksa diberhentikan tanpa notis selepas kontraktor baharu mengambil alih kedua-dua bidang tugasan itu. – K! ONLINE

Related

× Ada aduan? Hubungi SiAP!