Isu pekerja kontrak pembersihan dan keselamatan kerajaan: Cadangan JPKK

ISU PEKERJA KONTRAK PEMBERSIHAN & KESELAMATAN KERAJAAN: CADANGAN JPKK

Pekerja sepatutnya diangkat status sebagai pekerja tetap kerajaan, tetapi kerajaan juga boleh ambil cadangan-cadangan ini untuk dilaksanakan segera supaya hak pekerja seperti gaji minimum, cuti, caruman KWSP & PERKESO lebih terjamin.
Ismail Sabri Yaakob Tengku Zafrul Khairy Jamaluddin

1. Cadangan Penambahbaikan Sebelum Pemberian Tender

a. Siapa yang layak mendapat tender?
Disarankan hanya syarikat jenis pemilikan Sdn. Bhd, Berhad atau GLC dibenarkan mengambil bahagian dalam proses mendapatkan tender bagi perkhidmatan pembersihan dan pengawal keselamatan.

b. Senaraihitamkan
Senarai-hitamkan mana mana syarikat yang menyumberluarkan kontrak (subkontrak) kepada Syarikat lain dan digantikan dengan kontraktor yang baru.
Senarai-hitamkan syarikat yang dimililki oleh ahli politik serta Pengarah atau pemegang saham syarikat yang ada hubungan dengan syarikat yang telah disenaraihitamkan, Individu yang disenaraihitamkan tidak harus dibenarkan mengambilbahagiandalam proses mendapatkan tender.

c. Tetapan Nilai Sekuriti (Cagaran)
Tetapkan nilai sekuriti bon (cagaran) bagi setiap pemberian tender dalam lingkungan RM 200,000 – RM 300,000 untuk mengalakkan penglibatan syarikat-syarikat kecil dan menghalang monopoli oleh Syarikat besar

d. Pengurusan duit cagaran secara rasional
i) Bon digunakan untuk membayar gaji pekerja-pekerja yang syarikat gagal bayar gaji
ii) Bon dilupuskan Sekiranya syarikat yang menerima tender terlibat dalam aktiviti pemberian atau penerimaan rasuah, iii) Bon dilupuskan jika syarikat memberi maklumat atau kelayakan palsu semasa memohon tender.

2. Cadangan Penambahbaikan Semasa Proses Pemilihan Penerima Tender

a. Mengawalselia Jabatan Urus Setia

Mengawalselia semua aktiviti Jabatan Urus Setia dalam semua Kementerian atau agensi kerajaan.
– Sistem seimbang perlu dilaksanakan untuk memantau dan mengawalselia aktiviti semua ahli jabatan yang berkaitan. – Membentuk jawatankuasa pemantauan untuk memantau proses perolehan dan juga mengatur jadual untuk pembuat keputusan dalam tempoh masa tertentu untuk mengelakkan mereka jadi arif dengan perjalanan proses.

b. Memantau perlantikan Ahli Lembaga Pengarah bagi Jabatan Perolehan dan ahli jawatankuasa
– Menetapkan syarat pemilihan Ahli Lembaga Pengarah dan ahli Jawatankuasa untuk menjaga integriti
– Memeriksa latarbelakang mereka sebelum dilantik dimana Calon yang mempunyai hubungan politik atau memegang jawatandalam parti politik tidak harus dilantik.
– Melibatkan agensi luar seperti SPRM dan masyarakat sivil bagi mengganggotai jawatankuasa bebas dan berfungsi sebagai badan pemantau.

c. Pemberian projek atau kontrak harus transparen dan telus
– Semua keputusan pemberian kontrak harus diberitahu kepada umum dan mesti menjelaskan sebab pemberian kontrak tersebut termasuk menjelaskan sebab sebab penolakan tender bagi syarikat yang tidak dapat kontrak.
– Nama syarikat, kandungan dan maklumat penting yang digunakan semasa mengambil keputusan mesti mudah diakses orang awam.

3. Pembaharuan Undang-Undang

a. Mansuhkan Undang-undang Kerahsiaan
Undang-undang kerahsian seperti Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) harus dimansuhkan bagi membolehkan perkongsian mengenai proses perolehan selepas kontrak diberikan.

b. Semua rekod dijadikan sebagai dokumen umum
Menjadikan maklumat, arahan atau dokumen rasmi yang digunakan oleh Menteri semasa proses perolehan sebagai dokumen umum dan jika gagal dikemukakan, maka ia dijadikan satu kesalahan.

c. Libatkan pihak luar sebagai badan pemantau
Harus menetapkan syarat undang-undang dalam melibatkan agensi luar seperti badan bukan kerajaanatau SPRM sebagai ahli jawatankuasa dan/atau sebagai badan pemantau semasa proses perolehan.

4. Pembaharuan Institusi

a. Kuasa pendakwaan
SPRM harus diberi kuasa pendakwaan bebas dari Jabatan Peguam Negara untuk mengelakkan Jabatan Peguam Negara menolak mendakwa kes-kes yang berkaitan dengan politik atau hubungan pengaruh politik.

b. Perlantikan Ketua Pengarah SPRM
Pemilihan untuk jawatan ketua Pengarah SPRM harus bebas daripada campur tangan pemerintah dan harus dipilih melalui satu sistem pilihanraya bagi tempoh yang ditetapkan dan hanya boleh dilucutkan jawatan oleh Yang Dipertuan Agong.

c. Semua tender bagi GLC atau GLICs mesti telus (transperensi)
Proses tender bagi projek kerajaan mesti dilakukan secara telus dan transperensi dengan penglibatan orang awam dalam perbincangan dan proses. Semua projek harus melalui proses perolehan yang telus (transparensi)

5. Penambahbaikan hak pekerja kontrak

a. Hak-hak pekerja
Kami menuntut kerajaan untuk menetapkan syarat dan terma seperti di bawah dalam dokumen tender bagi menjamin hak pekerja. Jika kontraktor gagal mematuhi syarat dan terma tersebut maka kontraktor melanggari perjanjian dengan kerajaan dan patut kenakan denda dan disenaraihitamkan.
Hak pekerja dalam menikmati cuti tahunan dan cuti sakit berdasarkan Akta Kerja 1955.
i) Waktu kerja harus dipatuhi seperti yang ditetapkan dalam Akta Kerja 1955
ii) Hak untuk bekerja lebih masa seperti tertakluk dalam Akta Kerja 1955.
iii) Gaji harus diberi mengikut tahun perkhidmatan dan bukannya hanya mengikuti gaji minimum.
iv) Menyediakan polisi insurans dan memberikan faedah faedah lain seperti mana diamalkan di persekitaran kerja lain.
v) Memastikan alat perlindungan yang mencukupi dibekalkan kepada pekerja dalam keadaan pandemik.
Syarat-syarat dan terma ini harus ditetapkan dalam pemberian kontrak dan mesti dijadikan sebagai kandungan utama kontrak.

6. Penambahbaikan selepas pemberian tender

a. Pemantauan Tender

Membentuk jawatankuasa audit dan memilih perwakilan dari perkhidmatan sivil dan badan bukan kerajaan untuk menjalankan audit berdasarkan prestasi syarikat, KPI perkhidmatan syarikat, penjagaan Kebajikan pekerja selepas tender diberi.
Memastikan kontrak tidak diberikan kepada pihak yang tidak dikenali atau tidak layak.
– Audit dijalankan sekerap atau dijalankan setiap 6 bulan – Laporan Audit harus diberitahu kepada umum untuk mengamalkan konsep ketelusan.

Related

× Ada aduan? Hubungi SiAP!