KPM Jangan Cuci Tangan Hal Beribu-Ribu Pekerja Kontrak Hilang Kerja

*KENYATAAN AKHBAR PARTI SOSIALIS MALAYSIA*
3HB MAC 2019

*KPM jangan cuci tangan hal beribu-ribu pekerja kontrak hilang kerja*

PSM rasa kecewa dengan kenyataan KPM (Berita Harian online 26/2/19) menafikan peranan Kementerian dalam isu kehilangan kerja 12,000 pengawal keselamatan dan mungkin lebih banyak pekerja pembersihan di sekolah-sekolah Kerajaan . Ini adalah kerana keputusannya Kementerian Pendidikan Malaysia untuk mengurangkan perbelanjaannya.

Pada permulaan tahun ini, sebilangan pekerja kontrak – pengawal keselamatan dan pekerja pembersihan – tidak digajikan semula apabila kontrak lama tamat dan kontraktor baru mengambil alih. Kebanyakan mereka ini bukan pekerja baru dan telah bekerja disekolah yang sama untuk beberapa tahun di bawah kontraktor-kontraktor lain. Biasanya apabila satu kontrak tamat selepas tiga tahun, pekerja-pekerja ini diambil semula di bawah kontrak baru, tetapi kali ini, nasib mereka malang. Tiba-tiba mereka menjadi penganggur, tanpa diberi sebarang notis atau pampasan. Semua komitmen kewangan mereka terganggu –bayaran sewa, bil-bil, antara lain – menyebabkan keluarga B20 mereka menjadi lebih miskin dan berhutang.

Siapa yang bertanggungjawab untuk kehilangan kerja pekerja-pekerja kontrak ini? KPM menafikan mereka menjadi punca masalah ini dan memilih untuk menyalahkan kontraktor/syarikat swasta. Menurut KPM, ‘KPM tidak terbabit dengan penamatan mahupun pengambilan mana-mana pengawal keselamatan memandangkan perkhidmatan kawalan keselamatan adalah perolehan perkhidmatan dengan syarikat swasta… malah ia dibuat sepenuhnya oleh syarikat yang mendapat kontrak perkhidmatan.’

Penjelasan KPM tidak masuk akal, malah menunjukkan contoh buruk nilai bertanggungjawab. Memang di bawah sistem kontrak yang diwujudkan oleh KPM, tugas pengambilan pekerja telah disubkontrak kepada kontraktor. Kontraktor bertanggungjawab penuh atas pemilihan pekerjanya, iaitu dia boleh memilih siapa sahaja dia mahu untuk menjadi pekerjanya.

Tetapi perkara-perkara seperti bilangan pekerja untuk sesebuah premis KPM, jumlah gaji dan bilangan syif diputuskan oleh KPM. Sekiranya dalam harga kontrak, KPM memperuntukan bayaran gaji untuk empat orang pekerja sahaja untuk salah satu sekolah, maka tentulah kontraktor berkenaan akan mengambil empat orang pekerja sahaja. Sekiranya kontrak sebelum itu menggajikan enam orang pekerja, maka dua orang akan hilang kerja. Adakah ini kesalahan kontraktor atau berpunca daripada dasar KPM?

KPM tidak harus cuci tangan dan harus mengakui bahawa kehilangan kerja pekerja kontrak berpunca daripada keputusannya. Keputusan KPM untuk mengurangkan budget untuk perolehan perkhidmatan adalah hak mereka tetapi KPM harus sedar bahawa beribu-ribu pekerja dan keluarga B20 mereka terjejas dan merana akibatnya. KPM harus sedar bahawa pekerja kontrak yang bekerja di premisnya adalah manusia yang ada keperluan asas tertentu dan bukan robot, maka sebarang keputusan atau perubahan dasar akan menjejaskan mereka.

Maka KPM sepatutnya memastikan wang ganti notis dan pampasan diperuntukan untuk pekerja yang bakal hilang kerja. KPM sebagai kerajaan tidak harus bersembunyi di belakang justifikasi undang-undang berkaitan ‘kontrak’.

Sistem kontrak yang diamalkan oleh KPM dan jabatan-jabatan kerajaan lain memang tidak adil dan menyebabkan kehilangan jamninan kerja dan mencetuskan kemiskinan di kalangan masyarakat miskin. Sistem kontrak dipakai untuk kerja-kerja bukan sementara untuk mengurangkan kos bagi kerajaan tetapi menindas pekerja.

PSM menuntut supaya semua pekerja yang kehilangan kerja, yang mungkin dalam lingkungan 25000 pekerja (1200 pengawal keselamatan dan sebilangan sama atau lebih pekerja pembersihan) akibat perubahan dasar KPM dibayar pampasan berhenti kerja dan bayaran ganti notis untuk jumlah tempoh perkhidmatan mereka di premis KPM. KPM juga harus mengambil langkah-langakh untuk memastikan pekerja-pekerja ini menerima faedah SIP memandangkan mereka telah mencarum terhadapnya.

*Mohanarani*
Jkuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia
3/3/2019

Related

× Ada aduan? Hubungi SiAP!