PSM Mengecam Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang Menyebabkan Ribuan Pekerja Pembersihan Hilang Kerja

*KENYATAAN AKHBAR PARTI SOSIALIS MALAYSIA -€“ 3HB.JUN,2019*

*PSM MENGECAM TINDAKAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA YANG MENYEBABKAB RIBUAN PEKERJA PEMBERSIHAN HILANG KERJA*

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menerima banyak panggilan berturut-turut dalam 3 hari ini daripada pekerja pembersihan (cleaners) di sekolah-sekolah seluruh Malaysia yang mengadu bahawa mereka diberhentikan kerja secara tiba-tiba. Kontraktor baru mengambilalih pada 1 Jun 2019 dan pekerja hanya dimaklumkan sehari sebelumnya iaitu pada 31 Mei 2019 bahawa mereka dihentikan kerja! Ada diantara pekerja pembersihan yang telah berkhidmat selama lebih 20 tahun, tetapi dihentikan tanpa notis dan apajua pembayaran faedah pemberhentian kerja sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955.

PSM kesal bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melakukan tindakan drastik ini tanpa mempertimbangkan impaknya kepada warga pekerja. Setiap sekolah yang sebelum ini dibersihkan oleh 10 hingga 15 pekerja, kini dikurangkan kepada 4 atau 5 pekerja sahaja. Ini meningkatkan beban pekerja membersihkan tandas, bilik darjah dan sebagainya.

Arahan Kementerian tersebut dibongkarkan oleh Setiausaha Persatuan Kontraktor-Kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal Dan Pembersihan (KOSPPEM) dimana dijangka hampir 45,000 pekerja di seluruh Negara akan dihentikan kerja!

Ini adalah pekerja-pekerja yang terdiri daripada golongan B20 yang hanya menerima pendapatan dalam lingkungan gaji minima RM1,100 setiap bulan dan ada yang masih menerima gaji RM900 dan RM1000 sahaja. KOSPPEM memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan telah bertukar sistem penetapan pekerja di sekolah dengan matlamat untuk mengurangkan perbelanjaan. Maka, mereka tidak dapat mengekalkan pekerja. Pada masa dahulu jumlah pekerja ditentukan berdasarkan jumlah pelajar disesebuah sekolah, malah kini ia ditentukan oleh jumlah ekar dan jumlah tandas sekolah. Namum begitu, logik kerajaan untuk menetapkan hanya 4 orang pekerja pembersihan untuk keluasan sekolah di 7 ekar dengan 38 tandas memang tidak masuk akal sama sekali !

Hasrat Kementerian dibawah Kerajaan Pakatan Harapan mengurangkan perbelanjaan memangsakan pekerja B20 dan B40. Sejumlah besar pekerja telah hilang punca rezeki mereka. Adakah ini hadiah besar Pakatan Harapan kepada rakyatnya menjelang Hari Raya ini?

*Isu akar umbinya ialah sistem kontrak!*
Kehilangan kerja oleh pekerja pembersihan secara besar-besaran ini adalah akibat sistem kontrak yang diamalkan di sektor kerajaan. Setiap tiga tahun sekali kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menawarkan kontrak baru untuk kerja-kerja seperti pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah. Kerja-kerja ini walaupun sifatnya kerja tetap dimana kerja ini wujud selagi sekolah tersebut wujud. Maka, mengapa ia disumberluarkan kepada pihak ketiga bagi tempoh yang singkat? Sistem ini menguntungkan siapa? Kerajaan yang mahu menjaga kroninya akan manfaat dalam sistem ini, yang merugikan adalah pekerja-pekerja miskin. Sistem kontrak ini menindas pekerja secara maksimum – pekerja tiada jaminan kerja, pekerja hilang manfaat asas seperti kenaikan gaji, tempoh perkhidmatan, cuti dan lain-lain lagi. Kita dapat lihat punca sistem kontrak ini sekarang yang menyebabkan beribu-ribu pekerja hilang kerja. Penggunaan sistem kontrak bagi kerja-kerja tetap ini adalah satu pencabulan hak kerja dan hak kehidupan manusia.

Justeru, PSM mendesak Kementerian agar dengan segera menghentikan perlaksanaan sistem format baru ini dan mengembalikan bilangan pekerja disetiap sekolah seperti asal . Pihak Kementerian haruslah mengadakan rundingan dulu dengan pihak Kesatuan sekerja, MTUC dan juga pihak kontraktor sebelum memperkenalkan sistem-sistem seperti ini untuk mengkaji dan memahami implikasinya kepada pekerja.

*Sivaranjani Manickam*
Penyelaras Biro Pekerja Nasional PSM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related

38 pengawal keselamatan sekolah Perlis tidak dibayar gaji 2 bulan

38 orang pengawal keselamatan yang bertugas di premis Kementerian Pendidikan di Perlis, telah hidup dalam keadaan tanpa dibayar gaji oleh majikan mereka sejak dua bulan lalu. Pengawal-pengawal keselamatan yang diupah di bawah syarikat Wira Corps Security (M) Sdn Bhd ini ditempatkan di 10 buah premis Kementerian Pendidikan di sekitar kawasan Chuping dan Arau, Perlis, seperti […]

Font Resize
× Ada aduan? Hubungi SiAP!