Salam Idulfitri dari PSM Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan

SALAM IDULFITRI DARI PARTI SOSIALIS MALAYSIA NEGERI PAHANG, TERENGGANU DAN KELANTAN

Hanya beberapa jam saja lagi, umat Islam akan selesai menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan untuk tahun ini, dan insyaAllah, Hari Raya Idul Fitri akan disambut sebagai kemenangan setelah sebulan berlapar dan dahaga di waktu siang demi memenuhi tuntutan rukun Islam yang ketiga.

Secara tradisi, Hari Raya Idul Fitri disambut dengan meriah setiap tahun dengan hidangan-hidangan istimewa, pakaian baru serta adat ziarah-menziarahi sesama sanak saudara. Ramai dari mereka yang merantau untuk mencari rezeki di tempat yang jauh dari kampung asal mereka, akan pulang untuk meraikannya bersama keluarga. Diharapkan, semuanya dapat menyambut Hari Raya Idul Fitri dengan sihat dan juga selamat.

Dalam tempoh setahun, banyak khabar gembira yang telah tercatat. Dalam perjuangan rakyat melawan penindasan, banyak titik noktah tercapai yang memberikan kelegaan kepada ramai orang. Ada perubahan sistem yang berjaya dicapai, walaupun sedikit demi sedikit, mampu membawa garis senyuman kepada lebih ramai orang. Segalanya ada untuk kita raikan sebagai sebahagian dari warna-warna perjuangan yang panjang ini.

Namun begitu, bukan hanya khabar gembira yang tiba. Ada juga khabar-khabar duka yang menyesakkan fikiran yang tidak dapat tidak, kita terpaksa hadapi. Khabar tentang pengurangan peruntukan untuk kerja pembersihan sekolah adalah khabar duka yang terbaru yang kita terima dua tiga hari lepas, kurang seminggu dari tarikh kita akan menyambut hari lebaran ini. Pekerja-pekerja kontrak kebersihan sekolah, yang terdiri dari golongan B40, telah ditamatkan perkhidmatan mereka ekoran dari pengurangan peruntukan ini. Dijangkakan sekitar 50% dari pekerja yang keseluruhannya menjangkau 90 ribu orang ini telah kehilangan punca pendapatan bermula 1 Jun yang lalu. Dengan pendapatan yang ada selama ini pun, mereka terpaksa mencatu di sini-sana bagi memastikan kelangsungan hidup, bagaimana pula nasib mereka bila hilang pekerjaan seperti ini.

Dalam meraikan kehadiran 1 Syawal ini, marilah kita turut sama melihat di sekeliling kita, jangan pula sewaktu kita bergembira dan bermewah dengan berbagai juadah yang menyelerakan, ada di kalangan saudara-mara kita, atau sahabat taulan kita, atau jiran di sekeliling kita terpaksa mengasingkan diri dalam kesempitan akibat dari keadaan hidup yang tidak dipinta seperti ini.

Parti Sosialis Malaysia, menerusi Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang kami seliakan bagi pihak pekerja-pekerja kontrak perkhidmatan kebersihan, perkebunan dan kawalan keselamatan di premis-premia kerajaan, akan terus komited untuk memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kontrak ini demi memastikan mereka mendapat perhatian yang sewajarnya. Sokongan rakyat juga diperlukan untuk kami terus mampu untuk bangun membela nasib pekerja-pekerja ini dan juga golongan tertindas yang lain.

Kami, sekali lagi ingin mengucapkan Salam Hari Raya Idul Fitri, Maaf Dzahir dan Batin. Semoga kehadiran 1 Syawal ini akan membawa rahmat dan berkat untuk kita semua.

Pekerja diperjuang agar berdaya
Isu perumahan masalah bersama
PSM ucapkan Selamat Hari Raya
Moga kegembiraan untuk semua

Wan Zamzahidi bin Wan Zahid
Ahli Perhubungan Negeri Pahang dan Terengganu merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia

Khairul Nizam bin Abdul Ghani
Pengerusi Unit Kelantan merangkap Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related

SOUTH EAST ASIA SOLIDARITY TALK SERIES: OUTSOURCING OF SUPPORT SERVICE WORKERS IN THE PUBLIC SECTOR IN MALAYSIA & ITS CONSEQUENCES

By Danial Hakeem, JPKK 1. In your opinion how far the outsourcing in the public service has expanded in your country? In Malaysia, the planning to outsource in public sector was announced in 1995, under the 7th National Malaysia Plan. then, outsourcing of support services in public sector started to be implemented in 1997, by […]

Pengumuman dari JPKK

*Pengumuman dari JPKK:* Salam Perjuangan. JPKK menerima banyak aduan dalam minggu ini terutamanya pekerja pembersihan sekolah yang mengadu bahawa kontraktor minta untuk hadir kerja selang satu hari ke kerja dan gajinya akan dipotong pada hari yang tidak bekerja. Pemotongan gaji ini adalah tidak sah. Tolonga suarakan kepada kontraktor. Jika kontraktor teruskan pemotongan gaji, tolong mengadu […]

Font Resize
×Ada aduan? Hubungi SiAP!