JPKK Utarakan 5 Isu Utama KPM
*KENYATAAN AKHBAR JPKK – 13 DISEMBER 2019 – JPKK UTARAKAN 5 ISU UTAMA KPM*
Mesyuarat antara Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bermula dengan nada serius apabila semua talipon bimbit telah dilarang untuk dibawa masuk dalam mesyuarat. Setelah wakil JPKK mengadu, dua talipon dibenarkan dibawa masuk. Selain itu, semua beg diperiksa oleh pihak keselamatan. Walaupun wujud ketegangan diluar bilik mesyuarat, namun ia tidak berpanjangan apabila TKSU, Dato Azizan berkata beliau sedia untuk dengar keluhan JPKK.
Wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah berjumpa dengan Timbalan Ketua Setiausaha KPM, Dato Azizan pada 12 Disember 2019 untuk membincangkan masalah-masalah pekerja kontrak di premis sekolah terutamanya pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan. Bersama dengan Timbalan KSU, turut hadir adalah pegawai-pegawai dari Bahagian Perolehan, bahagian perundangan, pegawai dari KSM iaitu dari bahagian JTKSM, JPP dan bahagian dasar. Ini adalah satu mesyuarat susulan setelah kami berjumpa dengan YB Menteri Maszlee Malik pada 27 Mac 2019.
Beberapa isu kritikal yang melibatkan hak dan kebajikan pekerja kontrak di premis sekolah yang semakin hari ditindas oleh kontraktor diutarakan dan KPM turut memberi meklumbalas terhadap isu-isu tersebut.
Time Medi - 5 bulan gaji tidak dibayar sejak tahun 2015
Isu utama yang diutarakan oleh Penyelaras Nasional JPKK dari Perak, saudari Rani dalam mesyuarat tersebut adalah mengenai pekerja pembersihan di sekolah sekitar Kinta Utara, Ipoh yang dimangsakan oleh kontraktor Time Medi tanpa membayar gaji dari Ogos hingga Disember 2015. Kontraktor pula telah muflis pada April 2015 dan pekerja terus bekerja di sekolah-sekolah tanpa gaji untuk 9 bulan. Setelah usaha ke Jabatan Tenaga Kerja, tunggakan gaji sehingga bulan Julai diselesaikan dan bakinya masih belum diterima oleh pekerja-pekerja. Pengarah Jabatan Perolehan memberikan satu penerangan yang panjang lebar dimana banyak daripada isu adalah isu birokrasi, perundangan dan lain-lain lagi.
Timbalan KSU berjanji akan menubuhkan satu “taskforce” untuk mengumpulkan maklumat tentang kes ini dan berkomunikasi dengan JPKK. Mengulas ini, Sdr S.Arutchelvan, Timbalan Pengerusi PSM berkata “Yang penting adalah pekerja telah berkhidmat tetapi gaji belum dibayar, duit kontraktor masih di Kementerian Kewangan dan kerajaan perlu gunakan kuasa politik untuk ambil duit itu dan selesaikan isu ini”.
Insiden Pembuangan Ramai Pekerja Pembersihan secara mengejut pada 31 Mei 2019
Agenda kedua yang diungkitkan oleh Setiausaha JPKK M.Sivaranjani adalah tentang isu pembuangan pekerja pembersihan di sekolah seluruh Malaysia pada 31 Mei 2019 kesan daripada pemotongan bajet secara tiba-tiba. JPKK turut menyatakan kebanyakan sekolah pekerja dikurangkan lebih 70% iaitu dari 13 pekerja kepada 3 pekerja dan 3 pekerja ini menanggung beban kerja yang tinggi. Pihak JPKK menegaskan pihak sekolah sebenarnya meletakkan tekanan keatas pekerja. Ada juga sekolah dimana selepas waktu rehat tidak membenarkan pelajar gunakan tandas dan berkunci tandas kerana tiada pekerja untuk membersihkan, kata seorang ahli JPKK dalam mesyuarat tersebut. Setelah mendengar keluhan ini, KPM menyatakan bahawa baru-baru ini ada keputusan di peringkat kementerian untuk meningkatkan pekerja pembersihan di sekolah-sekolah secara berperingkat-peringkat tetapi akan menggunakan sistem yang sama iaitu jumlah pekerja ditentukan berdasarkan keluasan sesebuah sekolah. Juga, pekerja boleh mengadu isu beban ini kepada KPM untuk tindakan.
Kerja Shift Pengawal Keselamatan Sekolah
Isu ketiga adalah berkenaan dengan kembalikan kerja 2 shift kepada pengawal keselamatan di sekolah. Dalam pertengahan tahun 2019, sebahagian kontraktor telah menukar sistem dimana pengawal keselamatan 2 shift bertukar menjadi 3 shift. Ekoran daripada itu, JPKK mendapat banyak aduan daripada pekerja pengawal keselamatan bahawa penukaran ini telah mengurangkan pendapatan mereka dan letakkan seorang pengawal waktu malam turut merisaukan keselamatan dan kesihatan pekerja tersebut.
TKSU umumkan berita baik bahawa selepas ini akan kembali kepada 2 shift. Beliau mengumumkan semua kontraktor baru yang ambilalih pada bulan Januari 2020 akan mula amalkan sistem kerja 12 jam
Walaupun, JPKK dan PSM mengatakan kami menyokong sistem 2 shift dengan hati yang berat kerana pekerja pilih 2 shift (12 jam) kerana tidak cukup gaji untuk kerja 8 jam. Dalam keadaan gaji rendah, apakah pilihan yang ada pada pekerja. Maka wakil pekerja menuntut peningkatan Gaji Minima kepada RM 1800. Kami juga ingatkan KPM mengenai cadangan Bank Negara tentang seseorang pekerja harus mendapat gaji sebanyak RM2700 untuk hidup di bandar sekarang.
Senarai Hitamkan Kontraktor
Pada 27 Mac 2019, salah satu isu kritikal yang dibawa dengan YB Menteri Maszlee adalah mengenai syarikat-syarikat kontraktor yang sering melanggar undang-undang buruh dan mangsakan pekerja. Dalam mesyuarat tersebut YB Menteri berjanji akan menyenaraihitamkan kontraktor yang berbuat demikian. Pihak JPKK mengutarakan apakah status mengenai janji tersebut. KPM berkata pada 28 November 2019, mereka telah menghantar lebihi 20 nama syarikat kontraktor kepada Kementerian Kewangan dan sarankan untuk menyenaraihitamkan syarikat-syarikat tersebut. Kini keputusan di Kementerian Kewangan, katanya Bahagian Perolehan KPM dalam mesyuarat ini. Pihak JPKK juga diberitahu untuk teruskan usaha menghantar aduan terhadap syarikat yang memangsakan pekerja kepada pihak JTKSM dan KPM.
Kerja 7hari seminggu, 365 hari setahun
Wakil JPKK Batu Arang, saudari Cecilia turut mengutarakan isu pekerja pengawal yang bekerja 7 hari seminggu, 30 hari sebulan tanpa cuti rehat. Ini adalah satu fenomena yang berlaku di seluruh negara. Mengapa pihak KPM mahupun KSM tidak memberi sebarang garispanduan kepada kontraktor-kontraktor untuk menepati cuti rehat. Ini adalah sesuatu yang wajib diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955 tetapi semua pihak membiarkan kontraktor melanggar hal ini dengan selesa.
Saudara Munir, wakil JPKK Negeri Sembilan berkata gaji yang dibayar oleh kontraktor-kontraktor juga adalah berbeza. Adakah KPM mempunyai standard yang berbeza dalam memberi kontrak. Pihak KPM kata tiada sebegitu, malah pihak JTK turut menjawab ini hanya perlu ikut pengiraan Gaji Minima. TKSU berkata akan cuba memperbaiki keadaan ini.
Hapuskan Sistem kontrak
kebanyakan tuntutan JPKK semasa prjumpaan dengan YB Menteri pada Mac 2019, kita mendapati berjaya capai di mesyuarat susulan ini. Tetapi JPKK berasa harus terus berjuang untuk membawa perubahan dalam isu-isu asas seperti sambungan perkhidmatan.
Sentimen tersebut turut dilihat apabila saudara Thina, wakil JPKK Negeri Sembilan dengan suara lantang meminta KPM jangan cuci tangan. Beliau berkata semua penindasan yang berlaku kepada pekerja kontrak di premis sekolah adalah kerana sistem kontrak yang diamalkan oleh Kerajaan. Penyelesaian untuk semua masalah adalah hapuskan sistem kontrak. Adakah KPM komited untuk berbuat demikian?.
Puan Shaza, Pegawai Khas YB Menteri berkata bahawa KPM tidak cuci tangan dan memang sedang berusaha untuk menyelesaiakan masalah ini dengan kekangan kewangan yang terhad.
Bagi pihak JPKK dan PSM, selagi wujud sistem kontrak, selagi itu, wujud orang tengah yang akan mengambil sebahagian wang yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat B20.
JPKK ucapkan terimakasih kepada KPM atas usaha ini dan juga memanggil pelbagai agensi lain untuk turut serta dalam mesyuarat ini. Namun kakitangan yang hadir mesyauarat ini tidak boleh melakukan banyak jika tidak ada reformasi polisi dari atas. JPKK berharap ibu kepada segala permasalahan ini adalah sistem kontrak yang diwujudkan pada satu suasana untuk membela kroni-kroni politik. Hari ini kerajaan harus balik kepada polisi sebelum tahun 1980-an dimana bayaran gaji dibayar terus kepada pekerja melalui sekolah. Ini dapat menjimat wang selain daripada memberi jaminan pekerjaan kepada pekerja pembersihan dan pengawal di sekolah-sekolah seluruh negara.
Oleh,
M. Sivaranjani
Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
010-2402159