Bajet 2022 – Pekerja Kontrak Kerajaan Masih Dipinggir

_*Kenyataan Media: Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)*_
*BAJET 2022 – PEKERJA KONTRAK KERAJAAN MASIH DIPINGGIR*

JPKK kesal dengan pengumuman Bajet 2022 yang nampaknya gagal menghargai jasa pekerja barisan hadapan seperti pekerja pembersihan, tukang kebun & keselamatan di hospital dan juga sekolah.Tidak juga ketinggalan adalah barisan doktor kontrak. Walaupun bekerja dalam ancaman wabak sebagai pekerja lapisan pertama yang
terdedah dengan pesakit & sisa operasi, jasa mereka tidak dihargai, malah keadaan kerja mereka terus terabai seumpama sistem penghambaan moden.

Hasil kajian kami telah diserahkan kepada Kementerian Kewangan pada 18 Disember 2020 dan kami juga telah menyalurkan cadangan kami kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan Dan Ekonomi, tetapi kami tidak melihat sebarang indikasi berkenaan isu ini dalam perutusan oleh Menteri Kewangan pengumuman bajet pada
Jumaat lepas.

Sejak khidmat pembersihan dan keselamatan diswastakan pada tahun 1997, pekerja-pekerja ini menjadi pekerja kontrak yang hilang jaminan kerja & kenaikkan gaji tahunan. Pekerja terus dimangsakan dibawah kontraktor swasta yang bertukar setiap 2-5 tahun. Ramai yang bekerja 2 dekad di bangunan sama tetapi masih dihantui ancaman diberhentikan kerja diakhir kontrak. Gaji mereka pula terikat pada kadar gaji minimum. Masalah bayaran gaji seperti, kiraan OT & cuti yang tidak munasabah, selain bayaran lambat berbulan-bulan lamanya, terus berleluasa di seluruh negara. Ramai mengadu mereka bekerja tanpa cuti, dan tidak pula mereka diiktiraf sebagai frontliner untuk menikmati elaun istimewa. Ini bukan caranya untuk kita hargai pengorbanan mereka.

Kajian JPKK telah membuktikan sekurang-kurangnya sebanyak RM250 juta boleh dijimatkan sekiranya kerajaan menyerap kumpulan pekerja ini sebagai pekerja tetap kerajaan. Disamping menjimatkan dana kerajaan dalam usaha kita memulihkan keadaan ekonomi negara, langkah ini juga akan membuka tambahan sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan di seluruh negara. Hak asasi mereka juga lebih terjamin dibawah sistem kerja tetap, selain kenaikkan gaji & pencen. Langkah penjimatan ini juga sangat rasional lebih-lebih lagi kerana 250,000 orang pekerja pembersihan, keselamatan & tukang kebun akan mendapat manfaatnya.

Perkara kedua yang amat merungsingkan pekerja kontrak adalah kadar gaji mereka terikat dengan gaji minimum RM1200. Malangnya, tidak ada sebarang kenyataan dibuat mengenai kenaikan gaji minima, walaupun Menteri Sumber Manusia ada mengatakan ada berita baik untuk golongan pekerja mengenai gaji minimum; dalam
forum anjuran Gabungan Marhaen di https://www.facebook.com/GabunganMarhaen/videos/585364229270652
Paras gaji minima adalah terlalu rendah dan sepatutnya disemak semula.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan menghormati Seksyen 11 Akta Buruh 1955, yang menyatakan bahawa kerja tetap; seperti yang dilaksanakan kumpulan pekerja ini, tidak boleh diupah dibawah sistem kontrak. Kementerian Pendidikan perlu memainkan peranan yang lebih pro-aktif dalam memastikan hak pekerja barisan hadapan
di sekolah terjamin, begitu juga dengan Kementerian Kesihatan yang sudah berada dibawah Menteri baru diharapkan dapat membawa perubahan baru kepada barisan hadapan hospital. Perlaksanaan cadangan ini bukan sahaja satu langkah yang bijak, malah membuktikan bahawa kerajaan mengambil serius akan kebajikan golongan yang paling terkesan di bangunan sendiri.

*Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan*
*4 November 2021*

Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
D-3-33, Block D, 8 Avenue Business Centre, 8, Jalan Sungai Jernih 8/1,
Petaling Jaya, Selangor
Tel: +60 110767989
Emel: jpkk2019@gmail.com
Laman Web: jpkk.org

Related

Tandatangan petisyen

Tandatangan petisyen ini untuk menghapuskan sistem kontrak.https://chng.it/ykq2b8WKKG Sertai kami untuk menghapuskan sistem kontrak.Daftar diri anda di:https://forms.gle/hLta5pBgpxPn77ZCA

× Ada aduan? Hubungi SiAP!