Gaji RM1500 Sekarang: Pekerja Pembersihan, Tukang Kebun & Keselamatan Bangunan Kerajaan Mesti Diutamakan

KENYATAAN MEDIA JARINGAN PEKERJA KONTRAK KERAJAAN – 25 MAC 2022
GAJI RM1500 SEKARANG: PEKERJA PEMBERSIHAN, TUKANG KEBUN & KESELAMATAN BANGUNAN KERAJAAN MESTI DIUTAMAKAN

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan berita gembira bagi kaum pekerja di Malaysia iaitu kenaikan gaji minimum kepada RM 1500, kenaikan sebanyak RM 300. Sememangnya berita ini agak melegakan pada ketika ini keadaan ekonomi teruk turut menjejaskan kehidupan kaum pekerja. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang mewakili pekerja-pekerja pembersihan, tukang kebun dan pengawal keselamatan di premis Kerajaan, yang berjumlah lebih dari 150,000 orang pekerja, hidup di paras gaji minima, menyambut baik keputusan peningkatan yang boleh dikatakan drastik ini, jika dibandingkan dengan peningkatan sebelum ini.

Ini satu langkah yang memberangsangkan walaupun tidak memenuhi kadar yang sepatutnya iaitu RM2,331 sebulan sekiranya mengambil kira angka Pendapatan Garis Kemiskinan Relatif dalam formula pengiraan gaji minimum yang digunakan oleh Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara.

Walaubagaimanapun, kami membantah keras pendapat sesetengah pihak yang minta kelonggaran & pengecualian dari membayar gaji minima baru RM1500 kepada 150,000 kumpulan pekerja barisan hadapan bangunan kerajaan ini.

Kami tidak bersetuju keputusan Tan Sri Noh Omar, Menteri Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang meminta kerajaan mengecualikan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 terhadap usahawan perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS). Golongan pekerja bawahan yang menjana kekayaan PKMS dan mereka seharusnya mendapat hasil yang sepadan dengan usaha mereka. RM1500 itu sendiri bukan lah amaun yang mencukupi untuk saraan hidup seorang bujang apatah lagi berkeluarga. Jika kita ingat semula pengiraan Bank Negara yang menunjukkan sebuah keluarga memerlukan RM6000 sebulan untuk hidup bermaruah sekiranya hidup di Ibu Negara.

Kami juga tidak bersetuju dengan kenyataan Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM). Semalam mereka mengatakan;
“Dahlah kerajaan masih ada tidak bayar di bawah persatuan kami, tiba-tiba naik lagi. Kalau diikutkan, dengan kadar yang lama (RM1,200) pun syarikat hanya mendapat keuntungan bersih 10 peratus sahaja. Itu jumlah keuntungan paling rendah pernah kita terima”

Begitu juga dengan Kesatuan Syarikat Pembersihan yang juga merungut mereka hanya akan menerima 10% sahaja keuntungan kasar.

Sekiranya benar dakwaan PIKM, Kerajaan harus ‘mengemaskini’ nilai kontrak yang diberikan kepada kontraktor supaya ‘beban’ kenaikan gaji seperti yang didakwa oleh kontraktor pembersihan tidak ditanggung oleh mereka lalu tidak menjejaskan kenaikan gaji yang akan dinikmati oleh pekerja dalam 2 bulan lagi. Juga, masa yang diberi untuk pelaksanaan gaji baru juga adalah cukup lama bagi kontraktor dan kerajaan untuk mengemaskini formula nilai pemberian kontrak dengan tidak memberi kesan kepada pemberian gaji bulan Jun 2022 nanti. Kita tidak mahu pekerja menjadi mangsa pergaduhan diantara majikan kontraktor dan birokrasi pihak kerajaan. Kerajaan mesti ambil langkah pro-aktif untuk memastikan perlaksanaan kadar gaji baru ini dinikmati semua pihak, terutamanya pekerja barisan hadapan bangunan kerajaan sendiri.

PIKM juga sampai membuat kajian yang menyatakan syarikat akan menyediakan pengawal keselamatan yang berkualiti rendah dan majoritinya akan diisi oleh warga asing. “…kerana kita terpaksa menawarkan gaji rendah. Jadi, orang tempatan tak mahu terima gaji itu. Kalau naikkan, syarikat pula akan mengalami kerugian”. Kesatuan syarikat pembersihan pula mengatakan yang menaikkan gaji minima tidak akan meningkatkan produktiviti dan hanya meningkatkan inflasi.

Ini adalah satu alasan kerana kami banyak menerima aduan melalui talian hotline kami, Sistem Aduan Pekerja (SiAP) dimana pekerja mengadu gaji pokok yang diterima mereka masih dibawah kadar sebelum ini (RM1100!) dan terpaksa bekerja 7 hari seminggu, 30 hari sebulan tanpa cuti, dipaksa membayar uniform, dipotong gaji tanpa sebab munasabah, dan sebagainya. Amalan-amalan ini masih berleluasa di seluruh negara. Dengan amalan penindasan ini, tidak hairan ia menurunkan kualiti perkhidmatan kerana moral & tenaga pekerja sendiri semakin terhakis kerana keadaan tempat kerja yang sangat teruk, tak kisah pekerja dalam mahupun luar negara. Mereka juga ada tanggungan dan berhadapan inflasi, malah lebih terjejas berbanding syarikat yang masih mengaut 10% keuntungan dikala kemerosotan ekonomi. Jika gaji minimum kekal pun di taraf sedia ada, inflasi akan terus berlaku, dan kita tengok sejarah, produktiviti terus meningkat walaupun tak seiring gaji.

“Perkara ini bukan sahaja melibatkan pengawal keselamatan namun kakitangan sokongan syarikat industri tersebut. Ini kerana tak cantik kalau staf atasan akan mendapat gaji rendah berbanding golongan bawahan.” – Timbalan Presiden PIKM

Pendapat kami, cukup-cukuplah dengan semangat elitis yang cuba menjustifikasikan gaji lebih tinggi untuk kumpulan professional- kumpulan pekerja pengurusan yang hanya membuat kerja di pejabat dengan ‘air-con’, dan kerajaan harus menyalurkan wang tersebut kepada pekerja bawahan yang berhempas pulas menjaga kebersihan, keselamatan & SOP di premis kegunaan rakyat bawahan. Kerajaan mesti pastikan syarikat yang kukuh kewangan sahaja dianugerahkan tender, selain memastikan bayaran tertunggak dilunaskan, dan ambil tanggungjawab dengan menyenaraihitamkan syarikat bermasalah, supaya pekerja tidak dimangsakan dalam kemelut ini.

Jika tidak, maka terjadilah kes kes seperti yang berlaku di Sabak Bernam ketika ini, sebagai contoh dibawah kelolaan syarikat Panggilan Efektif, syarikat Parit Lapan & syarikat AS Rezeki, dimana ada 53 orang pekerja pembersihan bekerja percuma selama 4 bulan, tidak bergaji sejak November 2021.. 53 Pekerja ini telah berjumpa dengan Bahagian Perolehan KPM & PPD tapi masih tak selesai, sampai terpaksa memutuskan untuk berkampung depan pejabat PM pada 29 Mac nanti, dan mereka takkan balik selagi tak dapat gaji mereka.
Begitu juga dengan syarikat keselamatan Wira Corps, yang berulang kali lambat & tidak membayar gaji lebih 200 pekerja keselamatan seluruh negara, dan juga syarikat Prestij Global Niaga di Perlis. Mereka ini semua tidak mencarum KWSP, PERKESO & SIP pekerja di sekolah, tetapi kes ini masih berlangung dan pekerja terus dimangsakan. Kementerian Pendidikan & Kesihatan yang menganugerahkan tender kepada syarikat bermasalah, tidak boleh cuci tangan dan meletakkan tanggungjawab di kontraktor sahaja.

DANIAL HAKEEM B AZMAN
PENYELARAS
JARINGAN PEKERJA KONTRAK KERAJAAN
25 MAC 2022

Link Sidang Media: https://www.facebook.com/953464014854826/videos/5092994490760799/

FB: https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1821755954692290&id=953464014854826

TWTR: https://twitter.com/jpkk_official/status/1507224530523406336?s=20&t=RW9Joll_wS8n0C4n9MJqgQ

IG: https://www.instagram.com/p/Cbg_7Svp3Rr/?utm_medium=copy_link

Related

KAMI MEMBANTU ANDA!

Pada 23/8/23 jam 6.00 pm, saudara Dsm Ilanan telah mengadakan satu pertemuan bersama bekas-bekas pekerja sekuriti di Hospital Sungai Petani untuk semakan dokumen kali terakhir sebelum memfailkan tuntutan PGM 22 dan pengiraan gaji dari tahun 2021 sehingga awal tahun 2023. Sertai kami untuk menghapuskan sistem kontrak. Daftar diri anda di: https://forms.gle/hLta5pBgpxPn77ZCA #jaringanpekerjakontrakkerajaan#JaminanKerjaHakSemua#PengawalKeselamatan#pembersih#PEKERJAKONTRAK#kementeriankesihatanmalaysia#kementeriansumbermanusia#jabatantenagakerja

× Ada aduan? Hubungi SiAP!