Bantuan Elaun Khas RM600 kepada Doktor dan Kakitangan Perubatan – Kenapa Pekerja Pembersihan di Hospital Tidak Diiktiraf Sebagai Frontliners ??

*KENYATAAN AKHBAR – 30HB.MAC,2020 oleh Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia*

*BANTUAN ELAUN KHAS RM600 KEPADA DOKTOR DAN KAKITANGAN PERUBATAN – KENAPA PEKERJA PEMBERSIHAN DI HOSPITAL TIDAK DIIKTIRAF SEBAGAI #FRONTLINERS ??*

Menurut laporan Ketua Pengarah Ketua Pengarah Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah pada 29-03-2020 kematian yang disebabkan oleh wabak Covid-19 mencecah 35. Malah Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) telah dipanjangkan oleh kerajaan sehingga 14-04-2020. Keadaan ini menunjukkan penularan wabak Covid-19 adalah semakin serius dan berisiko untuk dijangkiti sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diamalkan.

Golongan yang bertungkus lumus menghadapi, mengawal dan mencegah wabak Covid-19 yang semakin serius adalah #Frontliners. Mereka adalah barisan hadapan menjaga keselamatan dan memberikan perlindungan untuk kebaikan sejagat. Doktor, Kakitangan Perubatan, pekerja pembersihan dan pekerja sokongan hospital merupakan #Frontliners yang membahayakan diri mereka dan berkorban untuk menjaga keselamatan rakyat Malaysia.

Akan tetapi, secara realitinya, pekerja pembersihan dan pekerja sokongan tidak diiktiraf sebagai #Frontliners dan disisihkan. Kenapa hanya Doktor dan Kakitangan Perubatan dianggap sebagai #Frontliners? Pekerja pembersihan Hospital juga bersama-sama berganding bahu dengan Doktor dan Kakitangan Perubatan mengharungi detik sukar ini tetapi kenapa wujudnya diskriminasi ini?

Malah, diskriminasi ini boleh dilihat dalam pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yasin pada 27-03-2020. Dalam Pakej tersebut, Bantuan Elaun Khas RM 600 setiap bulan akan diberi kepada Doktor dan Kakitangan Perubatan mulai 1 April 2020. Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (KPSPSHKSM) berasa terkilan dengan pengumuman ini kerana pekerja pembersihan di hospital disisihkan sama sekali. Kenapa golongan kolar Biru disisihkan dan golongan Kolar Putih diberi keutamaan walaupun kedua-dua golongan memainkan peranan masing-masing dalam pencegahan wabak Covid-19 dan berusaha menjaga keselamatan rakyat Malaysia bersama-sama?

Pekerja pembersihan juga memainkan peranan penting dalam menghadapi keadaan yang serius sekarang. Mereka membahayakan diri mereka dan juga berkorban untuk menjaga keselamatan semua pihak. Pekerja pembersihan juga adalah hero dan wira negara yang berada di barisan hadapan bersama-sama dengan Doktor dan Kakitangan Perubatan dan bertekad untuk melindungi rakyat Malaysia dari Covid19.

Malah, majikan pekerja pembersihan juga tidak membekalkan PPE ( Personal Protective Equipment)- ‘Face mask’, ‘Glove’, ‘apron’ yang mencukupi kepada pekerja pembersihan di hospital kerajaan. Kekurangan bekalan ‘PPE’ menunjukkan majikan juga tidak bertanggungjawab terhadap keselamatan pekerja. Keselamatan pekerja dipandang remeh-temeh dan diabaikan walaupun mereka juga adalah #Frontliners semasa keadaan pandemic ini.

Pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan dikontrakkan kepada 5 majikan prinsipal iaitu Edgenta Mediserve Sdn. Bhd., Medivest Sdn.Bhd., Radicare Sdn. Bhd., Sedafiat Sdn. Bhd., dan One Medicare Sdn. Bhd. Sehingga tahun 1996, pekerja pembersihan merupakan kakitangan kerajaan yang mendapat segala faedah dan manfaat yang diberi oleh kerajaan. Malangnya, apabila penswastaan diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1996, pekerja pembersihan dijadikan sebagai pekerja kontrak dan dianaktirikan walaupun bekerja di hospital kerajaan. Disebabkan sistem kontrak ini, pekerja-pekerja hanya diberi gaji dan faedah minima sahaja walaupun pekerja berkhidmat untuk jangka masa yang panjang di hospital kerajaan.
Oleh itu, KPSPSHKSM menggesa kerajaan untuk mengiktiraf pekerja pembersihan di hospital sebagai #Frontliners dan memberikan layanan yang sama rata kepada semua golongan #Frontliners yang terlibat dalam keadaan pandemik ini. KPSPSHKSM juga berharap kerajaan menghargai pengorbanan pekerja pembersihan dan pekerja sokongan di hospital-hospital kerajaan yang berada di barisan hadapan dalam pencegahan wabak Covid-19 ini.
KPSPSHKSM menyeru kerajaan untuk memberikan Bantuan Elaun RM 600 kepada pekerja pembersihan di hospital kerajaan dan elaun tersebut terus dibayar kepada pekerja.
Pada masa yang sama, KPSPSHKSM berharap Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat dan Bantuan Elaun RM600 ini akan membantu kumpulan‘target’ dan mengurangkan beban rakyat Malaysia serta memberikan kebaikan kepada semua sepanjang tempoh kritikal ini.

_Kesatuan Pekerja-Pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-Hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia_
_30/3/2020_.

Related

KAMI MEMBANTU ANDA!

Pada 23/8/23 jam 6.00 pm, saudara Dsm Ilanan telah mengadakan satu pertemuan bersama bekas-bekas pekerja sekuriti di Hospital Sungai Petani untuk semakan dokumen kali terakhir sebelum memfailkan tuntutan PGM 22 dan pengiraan gaji dari tahun 2021 sehingga awal tahun 2023. Sertai kami untuk menghapuskan sistem kontrak. Daftar diri anda di: https://forms.gle/hLta5pBgpxPn77ZCA #jaringanpekerjakontrakkerajaan#JaminanKerjaHakSemua#PengawalKeselamatan#pembersih#PEKERJAKONTRAK#kementeriankesihatanmalaysia#kementeriansumbermanusia#jabatantenagakerja

× Ada aduan? Hubungi SiAP!